Wednesday, August 24, 2016

Tindakan Pencucian Sabun

Formula am sabun dapat diwakili dengan RCOONa untuk garam natrium atau RCOOK untuk garam kalium dengan R sebagai kumpulan alkil yang berantai panjang.


Contoh:
a) Natrium stearat, C17H35COONa, dimana R ialah C17H35
b) Kalium palmitat, C15H31COOK. Dimana R ialah C15H31

Dalam air, sabun tercerai kepada ion logam dan ion karboksilat yang bergerak dalam air. Sebagai contohnya, natrium stearat membentuk ion natrium dan ion stearat yang bebas dalam air. Ion stearat juga disebut zarah atau anion sabun.


Zarah yang aktif dalam sabun ialah zarah sabun (anion sabun). Ion ini terdiri daripada dua bahagian:
a) Bahagian kepala yang bersifat ion.
b) Bahagian ekor hidrokarbon yang mengandungi ikatan kovalen.

Bahagian kepala mengandungi kumpulan karboksilat COO yang larut dalam air, iaitu bersifat hidrofilik. Sebaliknya, bahagian ekor mengandungi rantai panjang hidrokarbon (bahagian kovalen) yang tidak larut dalam air, tetapi larut dalam pelarut organik seperti minyak atau gris, iaitu bersifat hidrofobik.

Struktur zarah sabun (ion stearat).

Apabila sabun dilarutkan dalam air, sabun terurai kepada zarah sabun dan ion natrium. Larutan bersabun mengandungi zarah sabun dan ion natrium yang bebas bergerak.

Apabila zarah sabun bertemu dengan kotoran berminyak (gris) pada permukaan kain, ekor hidrokarbon yang bersifat hidrofobik larut dalam gris manakala bahagian kepala yang bersifat hidrofilik larut dalam air.

Bahagian kepala zarah sabun yang bercas negatif tertarik kepada air. Daya tarikan antara air dan bahagian kepala zarah sabun membolehkan gris ditanggalkan apabila air dikacau.

Gris ditanggalkan daripada permukaan kain merupakan titisan bercas negatif yang terapung-apung dalam air. Titisan-titisan gris ini menolak antara satu sama lain kerana mempunyai cas yang sama.

Apabila dibilas dengan air, permukaan kain menjadi bersih kerana titisan-titisan gris itu tertinggal dalam air. Proses menghilangkan kotoran oleh tindakan sabun dapat dipercepatkan jika larutan sabun dikocak dengan kuat atau dipanaskan.

Selain bertindak sebagai agen pencuci, zarah sabun juga berperanan
  1. Sebagai agen pembasah yang mengurangkan tegangan permukaan air lalu membantu air membasahi permukaan yang dicuci.

  2. Sebagai agen pengemulsian yang membolehkan titisan gris (kotoran) tersebar di dalam air tanpa bergabung, iaitu membentuk larutan emulsi. Hal ini membolehkan tindakan pencucian sabun lebih berkesan.